Sunday 29 July 2012

Cerpen: Dalam Diam Dia di Hati [5,6,7]

Hari ini bermulanya peperiksaan akhir semester buat Sayf bersamaan semester terakhir dia akan berada di universiti itu. Persediaan subjek hari ini sudah dibuat malam sebelumnya. Sayf sekadar menyelak rawak muka buku yang berada di tangannya sebagai ulangkaji terakhir sebelum masuk ke dewan peperiksaan pukul 11 pagi nanti.

Puan Fatimah tidak melepaskan peluang untuk memberi nasihat.
“Kalau kamu dapat keputusan cemerlang nanti, senang sikit dapat kerja untuk sara bini kamu nanti”, kata ibunda Fatimah sengaja menyelitkan bab perkahwinan.

Mulut Sayf terhenti sejenak, beberapa persoalan yang pernah bermain di fikirannya mula menyapa. Dia ingin mendapatkan keyakinan dari ibunya sendiri.
"Mak okay ke anak tunggal mak ni kahwin? Ye lah, Sayf kan sorang je yang mak ada. Nanti dah kahwin tak ada dah orang yang mak nak harapkan.", soal Sayf.

"Aih ke situ pulak kamu. Kalau kamu kahwin, tambah lah lagi seorang anak mak. Bukannya hilang seorang. Lainlah kamu syok sangat dengan isteri sampai lupakan mak kat kampung ni.", jawab Puan Fatimah selamba.

"Tapi mak, Sayf kan bukannya ada duit sangat. Mak tak rasa berat ke? Sayf pun belum bekerja lagi", soal Sayf lagi.

"Kenapa tiba-tiba kamu cakap macam tu?"

"Ye lah, kebanyakan orang zaman sekarang ni nak kahwin kena kumpul duit puluh-puluh ribu dulu. Kalau tak makannya tak kahwin lah mak."

Kata-kata Sayf itu membuatkan ibunya tertawa kambing, “Kamu ni Sayf.”


“Kan Allah dah janji dalam surah An-Nuur ayat ke-32, “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang dari kalangan kamu dan orang-orang soleh dari hamba kamu lelaki dan perempuan. Kalau mereka miskin, Allah akan beri kekayaan kepada mereka dengan limpah kurniaNya yang Maha Luas”, tak gitu?”

“Tapi… kamu kena lah usaha sungguh-sungguh. Sebab itu mak suruh kamu belajar rajin-rajin. Ujian esok buat elok-elok. Dapat keputusan bagus, boleh dapat kerja bagus. Jangan sekali-kali kamu berserah tak tentu hala. Macam kamu tereperangkap dalam perigi, takkan kamu nak harapkan angin angkat kamu keluar kan? Sekurang-kurangnya kamu kena usaha panjat, fikir cara keluar dan yang paling penting doa pada Dia.”

“Tak ada tawakkal pada Allah sebelum berusaha tau Sayf”, sambung Puan Fatimah lagi.
“Dan niat kamu kena lah tulus dan mulus tanpa berpegang pada fulus. Hanya berpegang pada Allah, insyaAllah Allah akan ‘pegang’ kamu.”

Perbualan mati setakat itu sahaja. Sayf termenung seketika, benar apa yang dikatakan ibunya. Usaha perlu ada sebagai tiang kepada tawakkal. Barulah akan sempurna.

---


“Hana! Ooh Hana!”

Hana yang sedang tekun membaca terus meluru ke ruang tamu.
“Ye bah?”

“Lusa abah nak bawa kamu buat pasport ke Mesir nanti. Dan abah ingat nak bawa kamu jalan-jalan sekali kat bandar nanti”, pesan ayahnya.

“Okay, Hana bila-bila pun boleh”, Hana tersenyum. Sudah lama dia menyimpan hajat untuk ke bandar.

---
Hari yang dinantikan sudah tiba. Destinasi pejabat imigresen sudah dijejak kaki. Selepas ini Hana dan ayahnya akan berjalan-jalan di sekitar ibu kota.

“Nanti abah datang balik ya, abah nak uruskan benda lain sekejap”, kata ayah Hana.
Hana mengangguk, "okay."

Dia melihat kertas bercetak ditangannya, nombor 1103 yang tertera. Di sekelilingnya ramai manusia yang turut sama menunggu giliran, menanti saat untuk melangsaikan urusan.
“Satu kosong lapan satu, kaunter lima”, bunyi mesin notifikasi automatik.

“Lama lagi ni”, detik Hana di dalam hati.
“Boleh lah pergi beli roti inti coklat kejap.”

Hana melangkah keluar dari pejabat imigresen. Dia melihat sekeliling, hanya beberapa buah kedai fotokopi yang terletak berhampiran. Di seberang jalan yang memisahkan deretan blok bangunan kedai, kelihatan sebuah kedai runcit.

Baru sahaja ingin melintas jalan, Hana terdengar bunyi esakan mendayu-dayu. Kelihatan seorang gadis sedang berdiri menyandar pada tepi dinding blok bangunan. Pipinya yang gebu basah dilanda ombak tangisan.

“Cik, cik tak apa-apa ke?”, Hana cuba mendekati.
Gadis bertudung merah tidak membalas, hanya air matanya yang mengalir lebih deras. Matanya berkaca-kaca entah apa yang dipendam rasa. Wajahnya dipalingkan dari pandangan Hana. Tak henti-henti dia menyedut hingus yang cuba menggelongsori ruang hidungnya.

“Cik, buruk tau macam ni orang tengok”, pujuk Hana cuba meredakan angin pilu. Hana membenamkan tangan ke dalam beg yang disandangnya lalu mengeluarkan sehelai tisu.
“Nah”, tangannya dihulurkan ke depan. Namun si gadis lambat sekali mencapai. 

“Biarlah buruk pun, aku memang dah buruk di mata Tuhan. Apatah lagi manusia.”

“Apa yang buat awak rasa macam tu?”

Suasana sepi menghimpit kata-kata. Tiada bunyi cengkerik, mungkin serangga pemecah sunyi itu sedang tidur. Yang ada hanya beberapa tin kosong dan sampah yang menconteng pemandangan.

“Aku… aku… aku dah terlanjur dengan teman laki aku”, akhirnya dimuntahkan juga kata walaupun suaranya jelas kedengaran begitu seksa.

“Astaghfirullahalazim”, Hana terkedu. Apa yang didengarinya tadi membuat jantungnya seakan-akan terhenti. Dilihatnya wajah si gadis, cantik bersih mukanya. Bahkan kelihatan masih muda remaja. Barangkali umurnya baru mencecah 16 atau 17 tahun. Gadis muda ini sudah berada di trek yang jauh menyerong. 

"Aku ni memang bodoh, senang sangat percaya dengan laki. Sekarang semua kawan-kawan aku sisihkan aku. Tak ada sesiapa pun untuk aku kongsi derita ni. Apa yang aku dapat cuma kata-kata yang menyakitkan hati", runtun berkecai jiwanya mengadu kata.
“Segala cacian yang dorang berikan buat aku rasa kosong… kosong.” Oh.. oh?
"Layak ke untuk aku terus hidup?", bergetar suaranya. Tangannya menggenggam baju kurung yang dipakai, geram dengan diri sendiri.

Detik waktu berlalu dimakan kesunyian buat seketika. Rintihan si gadis membuatkan Hana sedar akan keadaan dirinya. Betapa dia sepatutnya bersyukur mempunyai keluarga yang mengambil berat isu agama. Mendapat tarbiyyah dan ilmu Islam yang secukupnya. Ditambah pula pinangan untuk menghadiahkan ke dalam hidupnya seorang lelaki yang halal disisi. Jauh sekali dari cara yang tak diredhai, jalan haram yang licik menyelinap keluar dari syariat Islami. Apa lagi yang dia mahu?

"Manusia tak pernah lari dari kesilapan. Tak kira lah besar atau kecil, banyak atau sikit. Yang sebaiknya adalah bila kita buat silap kita bertaubat. InsyaAllah kalau cik ikhlas bertaubat, Allah pasti dan mesti ampunkan dosa-dosa cik. Bahkan kejahatan tu akan diganti dengan kebaikan. Allah itu kan Maha Pengampun Maha Penyayang?", semakin lebat rintihan air mata si gadis mendengar bicara Hana. Pujukan Hana berjaya menempel luka di kalbu. Dirasakan dirinya masih punya masa depan, masa depan yang lebih baik dari sebelumnya. Jauh lebih baik.

Si gadis menongkat kepalanya di atas bahu Hana. Dipeluknya Hana dengan pelukan erat. 
Hana mengusap-usap belakang badan si gadis. Dibiarkan bahunya basah disirami air mata keinsafan. Biarlah segala rasa dukanya mengalir bebas, surut dari melemaskan fikiran.

“Terima kasih”, bisik gadis bertudung merah. Sedar betapa rindunya dia akan kasih sayang dan belaian taubat dari Allah.

---

“Kamu ni Faris, sibuk sangat dengan Hana tu kenapa? Macam tak ada orang lain je lah kat kampung ni. Asik-asik pergi mengintip macam pencuri. Tak elok kamu tau dak?”, kata Puan Zimah mengingatkan anaknya yang sering mengintai Hana. Kelakuan Faris itu membuatkannya tidak senang. Intaian Faris tempoh hari disedari oleh beberapa orang teman Puan Zimah. Perkara itu membuatkan dirinya yang menanggung malu.

“Alah mak ni, biar lah orang nak Hana tu. Dia tu baik”, jawab Faris selamba. Angau cinta Faris tiada kena pada tempat dan cara. 
"Kalau mak tak nak Faris buat macam tu, mak tolonglah Faris."

"Tolong apa?"

"Mak tolong pinangkan Hana tu", Faris tersengih sambil membuat muka seakan meminta tapak kasut dihadiakan ke dalam mulut.

"Ye lah ye lah. Nanti ada masa mak pergilah jumpa dengan Makcik Kalsom tu.”, sebenarnya dia turut menyimpan hasrat untuk menjadikan Hana sebagai menantu, isteri buat anak lelakinya. Daripada Faris terus melakukan yang tidak senang dipandang, lebih baik dia terus masuk meminang.

---

Gerai pisang goreng Puan Siti tidak pernah lekang dari pengunjung. Pisang gorengnya enak dan rangup membuatkan ramai yang terpukau, bukanlah kerana buatan atau santau. Hasil air tangannya sentiasa laku, bak kata pepatah macam pisang goreng panas. Erk?

“Eh Som, dengarnya kamu tengah mencari orang untuk dijadikan suaminya Hana?”, soal Puan Siti kepada Puan Kalsom yang datang mengunjung.
“Boleh lah kita berbesan ye”, Puan Siti berterus terang. Tangannya sibuk mengepit pisang goreng ke dalam plastik.

“Besan?”, soal Puan Kalsom bersahaja, dia tersenyum sinis.
“Niatnya macam tu lah. Tapi Hana tu Kak Siti, dah ada orang masuk meminang”

“Siapa?”, soal Puan Siti penuh tanda tanya. Hajatnya untuk mendapatkan Hana sebagai menantu tersepit gara-gara terlambat.

"Fatimah, dia yang pinangkan untuk anak dia Sayf", jawab Puan Kalsom biasa.
“Biar selesai yang ni dulu ye kak. Kalau tak menjadi, insyaAllah saya akan minta Hana istikharahkan pinangan akak.”

Puan Zimah yang berada di sebelah sekadar menggigit jari. Tersedar yang dia juga sudah agak terlambat.

---

"Apa?! Siapa dia mak?", soal Faris tergesa-gesa.

"Mak dengar namanya Sayf", balas Puan Zimah dengan nada agak kecewa. Dia yang baru pulang dari gerai pisang goreng tadi melabuhkan punggung di atas sofa dan bersandar.

"Sayf?", bisik hatinya. Tak pernah dia mendengar sesiapa bernama Sayf sebelum ini, apatah lagi berjumpa dengannya. Yang pasti lelaki itu telah menggari niat hatinya. Terasa seakan-akan dirinya dibelenggu rantai yang menariknya jauh dari Hana. Hati membakar, nafsu amarah meledak.

---

Hening matahari petang begitu tenang menyinar. Angin bertiup lembut menjatuhkan daun-daun kering dari pepohon yang berjejeran di sepanjang jalan.
Dari jauh kelihatan sebuah lori menyusuri jalan kampung yang sudah diturap kemas. 
"Assalamualaikum mak!", Sayf menjojolkan badannya keluar dari tingkap kereta sambil melambai-lambai ke arah ibunya yang sedang mengambil baju dari atas ampaian.

Puan Fatimah yang menangkap panggilan Sayf menoleh ke arah suara, "Waalaikumussalam.. Oh Sayf."

"Terima kasih pakcik", kata Sayf ditujukan pada pemandu lori yang sudi menumpangkannya. Kebetulan destinasi yang dituju pemandu lori itu turut melewati kampung Sayf.
Sayf turun dari lori sebaik sahaja ia berhenti. Dia berlari-lari anak mendapatkan ibunya. Tubuh kurus ibunya itu didakap ke tubuh bidangnya. Dilepaskan segala rindu melalui pelukan itu.

"Solat dah?", soal ibunda.

"Alhamdulillah dah jamak tadi mak. Mak sihat?"

"Aih apa tak sihatnya, mak kuat lagi ni", balas Puan Fatimah sambil membuat gaya menunjuk otot dengan lengannya. Anak-beranak itu sama-sama tertawa.

"Nanti lepas maghrib insyaAllah maknya si Hana tu nak datang ziarah. Nak jumpa kamu katanya. Alang-alang kamu kat sini mak nak mintak tolong kamu pergi kedai kejap belikan gula. Gula kat dapur tu dah habis", kata Puan Fatimah sambil tersengih.

"Oh... okay", Sayf menggaru-garu kepalanya.
Sayf memunggahkan barang-barangnya ke dalam rumah lalu keluar semula untuk ke kedai tidak berapa jauh dari rumah. Perjalanan dengan kaki mengambil masa lebih kurang 5 minit.

Sesampainya di kedai, Sayf disambut oleh Pak Man.
"Eh Sayf! Baru balik ke?"

"Aah, baru je sampai lepas asar tadi."

"Dah besar kamu ye Sayf", usik Pak Man.

Sayf tersenyum, "Pak Man ni, baru tak jumpa setahun dah macam bertahun-tahun pulak ye."
"Berapa Pak Man?", tanya Sayf lalu mengeluarkan dompetnya setelah mengambil sebungkus gula kasar.

"Dua ringgit je nak."

"Okay Pak Man, saya balik dulu ya. Jumpa lagi. Assalamualaikum", Sayf menghentikan perbualan lalu berjalan keluar dari kedai Pak Man. Dia tak ingin menghabiskan banyak masa di situ.

Pak Man membalas dengan senyuman mesra, "Waalaikumussalam."

Faris yang sedari tadi memasang telinga berdiri di sudut meja kaunter. Niatnya untuk membeli barang dilepasakan kerana geram. Matanya tajam memandang Sayf.  "Jadi kau lah Sayf eh!", bicaranya sendiri dengan dengusan perlahan. Sudah beberapa hari dia memendam nama itu. 

Faris melangkah masuk ke dalam kereta.
Pintu kereta dihempas. Kunci dipulas menghidupkan enjin kereta. Pedal kiri ditekan, tangan yang memegang kepala gear ditolak rakus. Pedal kanan dipijak jauh ke bawah. Tayar kereta ligat berpusing membaham tar jalan, skreeeett! Kepulan debu jalan berterbangan naik ke udara.

Kereta dipecut agak laju memandangkan jalan separa kampung ini hanya membenarkan pemandunya memandu semaksima 60 kilometer sejam. Meter laju meronta-ronta, namun undang-undang harus dipatuhi. Bak kata pepatah biar lambat asal selambat. Stereng kereta diputar mengekori langkah Sayf.

Sayf menyusun langkah kiri kanan pulang ke rumah. Fikirannya menerawang, tiada sedar bahaya yang mengekori dari belakang.
Gedebuuk! Tubuh Sayf tercampak longlai menembusi udara kosong. Badannya bergolek di atas rumput. Rumput nan hijau terpalit darah merah. Mata Sayf tertutup rapat walaupun sekarang bukan waktunya untuk tidur. Vrooooom, bunyi kenderaan empat roda itu meninggalkan tempat kejadian. 

Pak Man yang ternampak akan kejadian itu terkejut besar, seakan-akan baru menyaksikan sebuah kemalangan di depan matanya. Oh? Matanya buntang, keringat membasahi muka disegenap ruang.
"Ya Allah! Sayf!"
---
Bahagian 4 << Bersambung >> Bahagian 8,9

2 comments:

Hadrab said...

Innalillahiwainnailaihirojiuun.

Sungguh tragis kisah ini. Tahniah penulis....InsyaAllah, semoga inilah hasil dari nur ramadhan yang diberkati Allah swt yang menyinari hati penulis.

Kasihan Faris, syaitan telah berakar d hatinya. Eh...sekarang ni bulan Ramadhan...InsyaAllah, syaitan digari oleh Allah swt, kenapa Faris masih bertindak ibarat kuda yang sedang dtunggangi syaitan? Dipacu laju...hingga berderum enjin berterbangan debuan tanah mengaburi pandangan indah kampung aman?

Itulah akibat bagi orang yang membenarkan matanya terus melihat wanita yang bukan mahram buat kali ke 2 dan seterusnya adalah pandangan panahan beracun syaitan. Racun terus menyelinap dlm saluran darah yang menyemarakkan dendam kesumat terhadap saudara muslimnya sendiri hingga mampu mengeluarkan tindakan yang menyakitkan sahabat muttaqin yang soleh. Itulah kesan panahn beracun yang mendalam hingga dalam bulan ramadhanpun, ketika syaitan tiada tapi kesan peninggalan agenda strategi syaitan bertapak dlm jiwa mangsanya yang telah membelakangkan Allah swt. Semoga Allah memberi hidayah dan taufiq kepada Faris dengan mengutuskan Quratul'ain muttaqin yang dapat membantunya perubah menjadi pemimpin muttaqin.

Semoga suasana dan ujian yang berlaku pada Sayf membuatkannya lebih yaqin dan cinta pada Allah swt,redha terhadap taqdir dan pertolongan Allah swt untuk menjadikannya 'abid Allah yang terpilih untuk mendapat yang terbaik di sisi Allah swt dan dia berhaq mandapat QA yang terbaik dari Allah.

Hermmmm....masyaAllah, hebat juga Hana ni ye...'what's somspecial about her?...sampai dari hamba Allah swt yang membenarkan syaitan menunggangnya hingga hamba soleh makcik2 pun terpikat dengannya...walhal dia hanya seorang gadis kampung?

Sekali lagi, InsyaAllah itulah susunan Allah swt, kesolehannya hanya Allah swt yang Maha Mengetahui, namun keikhlasan dan kemanisan iman seorang hamba Allah swt itu mengalir pada orang di sekelilingnya. Beruntunglah pasangan hidup yang Allah swt pilih untuk jadi teman hidupnya dengan aqad nikah halal utusan pilihan khas dari Allah swt.

Penulis!....apa terjadi dengan makcik yang tersenyum melihatnya berpelukan dengan kawan tionghuanya tu? Dah ada dalam scene ke belum lagi?...ke taqdir Allah, dia akan menggigit jari juga? Wallahu'alam.

Tak sabar untuk mengetahui cerita ini seterusnya?...Syabas penulis Dalam Diam Dia Di Hati. Semoga Allah swt teus memberi hidayah pada anda untuk menulis bagi memartabatkan syariat Allah swt. Semoga penulisan bertaqwa ini mendapat barokah dan redha Allah swt untuk syurgaNyankepada penulis dan pembaca pilihan Allah swt.

Saya pun suka menulis.

Anonymous said...

UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT