Saturday 30 June 2012

Cerpen: Dalam Diam Dia di Hati [3]

"Hmm.. Waalaikumussalam warahmatullah",
Punat merah dipicit. Wajah Auf kelihatan agak sugul seakan-akan budak kecil yang baru kehilangan set krayon faber kastel lima ringgit kesayangan. Bukan mudah untuk dia sedih begini. Hanya bila dia terasa kehilangan sesuatu yang dia cukup sayang, baru pipinya boleh merasa hujan air mata. Tapi berita kali ini tidaklah membuatkan dia menangis. 



"Kenapa pulak dengan kawan aku sorang ni, sedih semacam aku tengok. Macam kehilangan sesuatu je?", Rijal yang sedari tadi sibuk melukis memulakan perbualan. Auf tidak menjawab, dia hanya menadah telinga. Mungkin sedang memikirkan sesuatu.


"Semua yang berlaku ada hikmahnya. Kan Allah sebut dalam al-Quran. Inna ma'al 'usri yusraa, sesungguhnya dalam setiap kesusahan itu ada kesenangan. Tak gitu?", Rijal cuba menggembirakan sahabat rapatnya itu.


"Ye memang. Aku cuma sedih sebab dia dah tak ada", jawab Auf sedang dia duduk menongkat dagu di atas katil.


"Hah? Aisya dah tak ada? Kau ni biar betik. Jangan main-main", terkejut benar Rijal dengan kata-kata Auf.


Tergelak Auf melihat reaksi dari Rijal. Hati yang tadi sayu mula terasa geli.
"Hiish kau ni, aku cakap pasal Nini, kucing kat rumah aku la. Dari dia kecik lagi aku manjakan dia. Sekarang dia dah tak ada. Tak ada siapa dah nak teman aku tidur dalam bilik sorang-sorang nanti"


"Fasal Aisya tu, dia dah setuju", sambung Auf tanpa sedar bibirnya mula mengukir senyuman. Hati yang tadi gersang mula bertaman. Sedih mula berganti ceria.


---
Di saat pungguk sedang merindukan purnama bertemankan gelap pekat malam beserta nyanyian merdu sang cengkerik menggosok-gosok kakinya, krik krik krik, kelihatan sesusuk tubuh sedang duduk berlipat kaki beralaskan sejadah sambil tangannya menadah memohon kepada Yang Maha Memudah.


".. permudahkanlah segala urusanku serta segala urusan sahabat-sahabatku ya Allah. Dan sekiranya dia bukanlah untukku di dalam ketetapanMu, berilah aku yang lebih baik di sisiMu kemudian redhakanlah aku dengannya. Rabbana..", Sayf menghabiskan sisa doanya kemudian meraup muka yang masih lembap akan wudhuk dengan kedua belah tangan.


Sayf bukanlah hambaNya yang selalu bangkit untuk tahajjud tetapi sekiranya peluang untuknya ada, pasti diambil sebaiknya. Kebiasaan sehabis solat, Sayf akan mengulangkaji sedikit sementara menunggu masuknya fardhu Subuh. Kata orang, waktu begini adalah waktu yang ideal untuk belajar kerana otak lebih mudah menyerap dan menyedut segala bagai ilmu. Atau dengan kata mudahnya, macam span.


Jam yang menunjukkan pukul 5.25 minit pagi kelihatan menyiput sekali, siput khinzir pun lebih laju gamaknya. Tanpa sedar kepalanya sedikit demi sedikit menunduk ke meja. Akhirnya Sayf terlelap berbantalkan lengan, keletihan agaknya.


Baru sahaja mimpi datang menjengah, getaran vibrasi telefon bimbit mengganggu kilang air liur basi dari terus beroperasi lancar. Ditambah pula dengan lagu dendangan P.Ramlee bertajuk Di Mana Kan Ku Cari Ganti, Sayf bingkas celik semula. Telefon Samseng Galaksi segera dicapai lalu diletakkan ke telinga. 


Beep.
"Assalamualaikum Sayeeef, solat subuh dah?", cukup dikenali suara itu. Suara lembut yang sering membelai hatinya tanpa mengira waktu. Sudah beberapa hari sejak akhir sekali dia mendengar suara itu.  


"Ha waalaikumussalam mak. Belum lagi, mak call baru Sayf bangun ni", balas Sayf sambil menggosok-gosok matanya, uapan dibalas tangan.


"Lepas habis cakap ni solat subuh kemudian baca Qur'an sikit ye Sayf", Puan Fatimah mengingatkan lalu mulutnya dihentikan seketika.
 "Sebenarnya, mak ada sesuatu nak bagitau kamu", nada riang tadi kedengaran serius sekali.


"Apa dia mak?"
"Ermm.. macam ni, makcik Kalsom kampung sebelah nun tu ha. Anak dia nak ke Timur Tengah, dia tengah dok mencari orang yang boleh nengok-nengokkan anak dia. Jadi...",
"Jadi apa mak?"

"Jadi mak ingat nak bagi kamu dengan si Hana", berbunga sekali hati Puan Fatimah saat menabur kata. Dengan tidak disangka-sangka, tanpa ada duga, berita dari ibunda tadi bagaikan bulan jatuh ke riba. Begitu pantas sekali doanya dijawab. 
"Aih Timah, kamu pulak yang gembira terlebih", kedengaran suara ayahnya perlahan dari corong telefon.


Hana adalah gadis kampung lepasan sekolah agama berasrama penuh. Sikapnya yang santun amat menyenangkan ditambah lagi dengan akhlak Islam yang dibawa. Boleh dikatakan ramai kenalan ibunya, Puan Kalsom, berkenan untuk menjadikannya menantu.

Namun Sayf belum pernah besua dengan Hana, dia hanya kenal dengan nama dan perwatakan yang dedingar melalui perbualan. Itu pun sewaktu dia masih mentah bab perasaan.
"Jadi bila kamu nak balik sini?", sambung Puan Fatimah.


Sayf melihat tarikh di jam tangan. Lagi 1 minggu sebelum bermulanya peperiksaan akhir semester.
"Dalam tiga atau empat minggu lagi insyaAllah mak", jawab Sayf.


Perbualan terhenti setelah habis hajat ibunda kesayangan habis dilontar.
Telefon bimbit ditatap sebentar, skrin menunjukkan pukul 6.17 minit. "Eh, rasa macam tak sampai 5 minit pun tidur tadi", Sayf menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal lalu berganjak ke tandas. Wudhuk ditertibkan semula untuk fardhu Subuh.


---
Bahagian 2 << Bersambung >> Bahagian 4

Saturday 23 June 2012

Cerpen: Dalam Diam Dia di Hati [2]

Jam menunjukkan pukul 8.42 pagi. Matahari sudah mula terang, sinarnya sayup menembusi dada bilik. Sesekali kedengaran cicipan sang pipit mencari rezeki. Di waktu masih ramai yang masih lena dibuai mimpi sabtu pagi, Sayf seperti biasa memulakan kerja mingguan mengurus bilik dan membasuh baju.


Swoosh, swooosh, swoosh. Bersungguh sekali Sayf memberus baju kotor. Sesekali dia mengesat peluh di dahi. Walaupun kemudahan mesin basuh baju ada disediakan pihak kolej, namun Sayf lebih selesa menggunakan tenaga tangannya sendiri. Bak kata orang, air tangan sendiri kan lebih sedap. Eh? 
Sekurang-kurangnya bolehlah disimpan sedikit duit basuh baju untuk dibuat belanja makan.


Fikiran Sayf masih memainkan kata-kata naqib usrahnya malam semalam, "Yang baik kita kena kejar, bukan dengan kita lepas tangan. Kalau kita duduk diam je, takkan nak harap yang baik tu datang kat kita kot. Pepatah kata yang bulat takkan datang bergolek, yang pipih takkan datang melayang", diikuti senyuman lebar sang naqib.

Dalam pada itu dia teringat hadith nabi yang bermaksud, “Janganlah seseorang lelaki meminang perempuan yang telah dipinang saudaranya sebelum perempuan itu ditinggalkan oleh tunangnya atau jika tunang sebelumnya itu mengizinkan”. 

Baru dua hari lepas sejak berita Auf meminang Aisya menembusi corong telinganya. Berita yang membuatkan Sayf terdiam seribu bahasa, tiada mampu berkata macam beruk terkesima. Cuma makannya masih kenyang, mandinya masih basah, tidurnya masih lena. Ah mungkin tiada kaitan.

“Allah nak uji aku ni”, Sayf cuba menenangkan diri. Dia tahu apa yang perlu dilakukan, bukan dengan menggelupur, melembik.

Tok tok tok tok, pintu bilik diketuk. Belum sempat Sayf membuka mulut, pintu sudah dibuka luas.

"Assalamualaikum, Sayf!", Rijal melangkah lalu melabuhkan punggung di atas katil tanpa dijemput. 
Sudah biasa begitu. Dia dan Sayf sudah seperti adik-beradik. Manakan tidak, Rijal, dan Sayf sudah berbelas tahun bersama, sejak di bangku darjah satu lagi. Auf juga pernah berkongsi sekolah yang sama, tapi hanya sewaktu mereka di peringkat sekolah menengah.


Mereka bertiga mengambil aliran sains. Kini Rijal menyambung jurusan perubatan, Sayf jurusan bioteknologi manakala Auf pula jurusan kejuruteraan elektronik. Masing-masing punya minat, mimpi tersendiri.


"Waalaikumussalam, ha awat? Seronok semacam je aku tengok."


Sayf melangkah keluar dari ruang wudhuk yang juga tempat dia membasuh baju. Tepat sahaja rakannya itu masuk sehabis memberus.

"Aku ingat lah kan, aku nak ikut jejak Auf lah. Kau tau apa dia buat?", soal Rijal penuh semangat, seperti beruk terjumpa pisang tanduk sebesar kasut saiz 19. Dia menepuk-nepuk lembut perut Miki. Kucing warna kuning tua bercorak hitam serabut itu sering memanjat masuk ke dalam bilik Sayf yang terletak di tingkat satu. Cukup jinak dengan Sayf yang sering memberi khidmat urutan percuma beserta pakej belaian dan makanan.

Sayf mengangkat baldi berisi pakaian yang dibasuh selesai tadi kemudian menuju ke arah balkoni bilik. "Apa?" pura-pura dibuat tak tahu. Mukanya dikawal agar nampak selamba.

"Dia pergi masuk line Aisya, peeeh. Bukan calang-calang orang Aisya tu. Melepas lah orang lain. Sama-sama baik, sama-sama cantik, sesuai sangat lah dorang dua tu."

Satu persatu kain basuhan diletak kemas di atas ampaian kemudian diketipkan penyepit.
"Jadi betullah apa yang Ihsan kata", detik hati.


"Bila dia pergi?" soal Sayf ringkas.
"Ermmm, baru jugak la. Dalam empat lima hari lepas. Tak sangka dia dah maju selangkah. Kita ni je yang masih terperuk dengan buku", disambung ketawa Rijal kembang kempis.


"Jumpa kau kat cafe pukul 10 nanti, aku nak pergi mandi", Rijal mengingatkan lalu keluar dari bilik. Suasana menjadi sepi seketika.

"Hmmm, nampaknya kena lepas je lah. Kita merancang, Allah yang menentukan dan Dialah sebaik-baik perancang kan Miki?", celoteh Sayf sendirian sambil memandang Miki yang berbaring manja.

"Miao"

---

Beeeep, beeep, bunyi telefon menjerit meminta disambut. Aisya yang sibuk berbual dengan rakan sekelasnya Tasnim terus mematikan perbualan. Telefon bimbit dicapai, pada skrinnya tertera perkataan 'umi'.


"Siapa tu kak?", soal Tasnim. Aisya sering dipanggil 'akak' oleh rakan seumurnya memandangkan dia lahir pada awal Januari.

"Umi akak", balas Aisya ringkas.



"Saya balik bilik dulu lah kalau macam tu kak Sya". Aisya sekadar mengangguk setuju. Senyuman tipis diukir bibir.


Butang hijau ditekan, pantas umi bersuara.
"Assalamualaikum anak umi! Dah solat? Dah makan?"


"Waalaikumussalam, alhamdulillah dah umi"
"Aisya dah istikharahkan untuk pinangan Auf tu?", umi berterus terang. 


"Dah umi, Aisya dah istikharahkan", jawapan diberi cukup tenang.
"Jadi apa decision Aisya?", soal umi tidak sabar untuk mendapatkan jawapan.


Aisya menghembuskan nafas perlahan.
"Bismillah".. 


---
Bahagian 1 <<  Bersambung.. >> Bahagian 3

Saturday 16 June 2012

Cerpen: Dalam Diam Dia di Hati [1]



Petang itu hujan galak lagi membasahi bumi. Dedaun dan bunga sekadar mengangguk saat dihempas derap hujan. Tanah yang tadinya sekadar basah mula melecah. Kucing pun seakan mengerti, bukan waktunya untuk bermain lincah. Petang-petang begini memang selesa menjana air liur basi berteman deru angin, angin yang membelai dingin.

Cip cip tuk pak tap tup ba dum tss, bunyi butang-butang laptop ditekan gelojoh, Sayf tampak bersungguh. Assignment lapuk anjakan 2 minggu yang lalu masih lagi dalam ruang fokus. Dua rakan sekumpulannya, Ihsan dan Halim berada di sebelah. Halim duduk memeluk lutut di atas kerusi, membantu dengan menyembur kata dan idea. Ihsan mencuri tulang seperti biasa, baring mencari bintang di siling bilik. Sekali sekala dia mengalun suara sambil memetik tali gitar. 


“Masukkan sekali intera…i dalam point ke-dua”, suara Halim tenggelam timbul, berperang dengan bunyi air hujan.

Sayf terhenti seketika. Tangan yang tadi kemas menggenggam mouse kini sedikit lerai. Matanya menangkap kelibat Aisya yang pantas meninggalkan kafeteria usai membeli makanan. Jendela bilik Sayf yang menghadap cafeteria cukup dekat untuk membolehkan dia melihat gelagat manusia pelbagai. 

Aisya seorang gadis tahun 3 jurusan perguruan di universiti itu. Wajahnya cantik bersih, tiada setepuk bedak pun yang mengalas. Yang ada hanya seri wudhu', tentunya dijaga 24/7. Tudungnya labuh menyembunyikan susuk. Cara berjalan pula tiada menunjuk. Peribadinya tinggi, wajahnya selalu menunduk.  

Jika dibandingkan dengan mahasiswi-mahasiswi kebanyakan yang lain, mungkin ini bukan tempat yang sesuai. Sukar nak dicari di tempat yang rata-rata pelajarnya kurang aspek agama.

“Hoi! Sayf ko dengar tak?”, terjah Halim mengejutkan Sayf dari lamunan celiknya.
“Astaghfirullah…”, sambut Sayf perlahan membisik pada diri sendiri, tersedar dari nodaan syaitan.
“Aisya lagi la tu. Konfeeem.”, kata Halim sambil memanjangkan leher ke kanan kiri, cuba mencari kelibat Aisya yang sudah hilang dari pandangan.

"Eh kau ni, aku pekak sekejap je terus kata macam-macam kan. Aku cuma teringat kuey teow kung fu yang kita makan tadi, sedap!", balas Sayf cuba menyembunyikan  dengan senyuman. Dia memang tak pandai nak menipu.
“Tak payah nak sorok la weh, aku tauuu”, disambung gelak Ihsan terkikih-kikih macam kereta semput.

“Kalau kau nak, cepat-cepat lah masuk. Nanti karang orang lain potong kecewa tak sudah pulak. Kita pun dah nak habis sem ni. Graduate nanti boleh terus walimah.”, cadang Halim.
“Oh oh, lama aku tak makan nasi minyak. Peluang, peluang. Hoho”, balas Ihsan sambil tersengih.

Sayf mengangguk. “Betul jugak tu”.


Sudah fitrah manusia sukakan kebaikan. Gadis sopan seperti Aisya selalu dipandang dengan pandangan yang redup. Bukan dengan pandangan nafsu, mata membulat mulut melopong. Berbeza sekali dengan gadis-gadis yang selalu digunakan sebagai alas cinta semata. Bila sudah bosan, dibuang ketepi tak diendahkan. Kadang-kadang rasa kasihan pun ada bila melihat mereka yang masih diatas landasan jahil. Seperti patung, dipergunakan sesuka hati.

"Tapi kan, aku dengar si Auf tu dah masuk meminang Aisya. Aku dengar lah, tak tau betul ke tak.", kata Ihsan pantas mengacau air yang baru tenang. Sayf tersentap. Auf memang terkenal dengan sifat baiknya. Mahu pula dia selalu menjadi imam di surau kolej kediaman mereka.

"Apalah sangat aku ni nak dibandingkan dengan Auf tu", bisik hati. Terasa kecut hati, tapi mahu.
"Siapa tak mahu orang baik macam dia, bijak pun bijak, harta pun ada", tambah Sayf dalam hati.

---
Bersambung.. >> Bahagian 2

Saturday 9 June 2012

Kera di depan jadi tumpuan, Singa dalam diri tak diendahkan

Di suatu sudut, Luqman kelihatan sedang tekun membaca. Dahinya sedikit berkerut, tanda benaknya tak selesa. Buku yang tadi dipegang kemas, diletakkan ke tepi. "Fuhh", dia mengeluh sedikit. Pandangannya dilemparkan jauh, fikirannya melayang.


Dari jauh Arif yang baru sahaja habis kelas tengahari datang mendekati. Dia sedar gelagat teman akrabnya itu. Tahu ada sesuatu yang bermain di fikiran. 


Tangannya dijulurkan, bahu Luqman ditepuk.
"Weh Luq, termenung jauh nampak. Ada masalah ke?" Tegur Arif menarik semula Luqman ke alam realiti.
"Kalau ada, ceritalah kat aku. Mana tau aku boleh tolong kan?" Tambahnya. 

"Masalah? Aku memang ada masalah! Masalah UMMAH!" Jawab Luqman agak keras. 
Luqman pantas berdiri.

"Aku tengah fikir pasal dunia kita sekarang ni, banyak perbalahan sana sini, dunia ni dah tak aman. Dunia ni dah banyak sangat bergoncang atas tangan-tangan orang kafir. Tengok je lah Palestin tu, depa sedap hati je bedil. Dunia Islam kucar-kacir, semua sebab dorang. Tambah lagi dengan politik sekularismenya, ekonomi kapitalismenya, fahaman-fahaman leberalismenya. Racun, racun."


"Kalau aku lah kan, aku nak ikut pergi jihad. Aku nak bunuh semua orang kafir. Kalau aku jumpa pemimpin dorang, aku bunuh satu-satu!" Sambung Luqman penuh semangat, seperti angry birds yang baru kehilangan telur. 

Arif sekadar mengangguk. Dia tahu apa yang perlu dibalas.


"Apa yang kau kata tu ada betulnya Luq. Tapi kita kena ingat, Islam tak ditegakkan dengan mata pedang. Islam ni bukan agama paksaan. Islam ni bukan agama yang garang. Bukan jugak agama dipandu peperangan. Kita kata orang-orang kafir tu musuh Islam yang utama, tapi kita tak sedar yang mana, ramai dari kita golongan umat Islam ni sendiri yang jadi musuh Islam."


"Tengok lah Mustafa Kemal Ataturk yang bertanggungjawab atas runtuhnya empayar khilafah. Tengok pulak Irshad Manji yang cuba bawa fahaman liberalisma tak munasabah. Atau tengok pemimpin-pemimpin Islam yang menolak Islam, kononnya hukum Islam tu lah yang akan bawa masalah. Mereka-mereka ni lah musuh di dalam selimut, yang jadi duri dalam daging. Kita patutnya berbalik pada Al-Qur’an dan Sunnah."


"Rasulullah sendiri pernah kata dalam khutbah terakhir baginda: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.”
Kenapa? Sebab dua-dua ni lah tunjang kepada iman, macam akar kepada pokok."

"Al-quran ni, orang-orang kafir pun takut, sampaikan ada sorang ahli parlimen Britain ni kata: “Selagimana Al-Qur’an itu berada di tangan umat Islam, maka Eropah selama-lamanya tidak akan berupaya menguasai negara Islam.” Orang kafir pun sedar hebatnya Al-Quran ni. Tapi kita? Kita masih lagi lena di bawah selimut dorang, leka dengan hidup bersenang-lenang." 


"Sedar tak yang sepatutnya kita mula dengan baiki diri sendiri? Bukan terus tuding Barat, salahkan kuasa-kuasa besar, kuasa-kuasa hebat."

"Cuba kita mulakan dgn solat subuh berjemaah setiap hari, pastu dalami Al-Qur'an dengan As-Sunnah, barulah boleh lahirkan insan yang hebat. Contohnya macam Sultan Muhammad Al-Fateh. Dia tak pernah tinggal solat tahajjud sejak akil baligh. Jangan kata solat lain, solat tahajjud pun tak pernah tinggal! Hasilnya? Dia dapat tawan Constantinople waktu umur dia 21 tahun." 

"Tengok pulak Salahuddin Al-Ayyubi. Semua tentera baris hadapan dia pilih dari kalangan orang-orang yang bangun malam untuk bermunajat pada Allah. Yang tak, semua duduk belakang-belakang je. Dan akhirnya, dia dapat kalahkan tentera Salib yang kuat."

"Pastu tengok Al-Jazari, tokoh engineering Islam, sistem yg dia cipta dari ratusan tahun dulu masih lagi orang guna sampailah sekarang. Idea-idea dia semua dipelopori kemudian dikembangkan. Itu pun semuanya, iktikad sendiri dengan mendalami ilmu-ilmu Al-Qur'an."


"Secara mudahnya, semuanya mula dari diri kita sendiri, inspirasi dari lubuk hati.
Ibarat pohon lah, mulanya dengan benih bukan dengan daun rimbun."

“Tegakkan Islam di dalam dirimu, nescaya mekarlah Islam disekelilingmu.
Dari diri, ke keluarga, ke masyarakat, ke negara, dan last sekali, kepada dunia. InsyaAllah!" Jelas Arif panjang lebar.


Dia meneguk air teh o ais limau kurang gula dari botol yang dibawanya bersama tadi.
Luqman yang dari tadi sekadar mendengar, mengangguk tanda setuju. 
"Betul jugak kan?"


---