Saturday, 29 September 2012

Cerpen: Dalam Diam Dia di Hati [8,9]


Sinar merah biru diiring bunyi tempikan siren menyedarkan pemandu di hadapan akan kehadiran ambulans. Kenderaan putih bercalit merah itu menerobos lincah dari celahan kenderaan yang membuka ruang. Tayar berputar lancar menghampiri lampu isyarat di simpang empat yang menjadi punca kesesakan.

Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Lampu isyarat dari arah kanan bertukar kuning. Sebuah Jeep berwarna merah garang yang cuba merentasi simpang enggan berhenti. Pedal minyak dipijak semakin bawah lagi.

Kepala Jeep tanpa segan silu menerkam badan ambulans. Tayar kedua-duanya tersipu-sipu menjerit ditogel tar jalan. Lampu isyarat yang tiada bersalah tertunduk malu dicium ambulans dari hadapan. Kelengkapan dan ubat-ubatan di dalam jatuh menghujani penumpang yang mengisi ruang belakang.

Mulut-mulut ternganga. Mata-mata seakan tak percaya akan insiden sekelip mata. Asap berkepul-kepul keluar dari but hadapan Jeep garang. Beberapa orang meluru ke arah kemalangan cuba untuk menghulur tangan.

Tit… tit... tiiiiiiiit...
---

"Macam mana keadaan dia doktor?", soal Rijal tergesa-gesa. Disisinya berdiri Auf. mereka berdua yang mendapat berita kemalangan Sayf telah datang bersama-sama untuk melihat sahabat mereka itu.

"Keadaan dia sekarang agak kritikal. Kami akan buat pembedahan segera untuk hentikan pendarahan dalaman."

"Berapa kosnya?", soal Auf. Dia tahu rawatan pembedahan pasti memakan kos yang tinggi.

"Soal bayaran tak perlu difikirkan dulu. Yang penting sekarang adalah hubungi keluarga terdekat mangsa untuk uruskan jenazah ibu dia."

"Apa? Mak Sayf... dah meninggal?", kata Auf dan Rijal hampir serentak.

***
"Timah! Timah!", laung Pak Man setibanya di belakang rumah Puan Fatimah. Puan Fatimah yang baru siap membancuh secawan teh untuk dijamu kepada Sayf yang baru pulang segera menjenguk keluar jendela. Hatinya tidak tenang mendengar panggilan gopoh Pak Man. Ada sesuatu yang mecuit-cuit firasat hatinya.

"Kenapa ni Pak Man?", air liur ditelan.

"Anak kamu... anak kamu Sayf kena langgar dekat jalan nak ke kedai!", kata Pak Mana tercungap-cungap setelah lelah membawa perut boroinya berlari.

Jatuh berderai cawan kaca dari titipan tangan selari runtunnya hati. Teh panas yang menerkam kaki tiada terhirau lagi. Impak berita jauh mengalahkan sensasi rancangan Melodi di kaca TV.

"Ya Allah!", hanya bibit itu yang mampu keluar dari bibirnya.

Melipas kudunglah Puan Kalsom melangkah cuba melangkau batas kain batik yang telah disarungnya kemas. Seribu langkah menjadi satu. Lokasi yang tiada mampu berganjak lari dikejar sekuat hati. Tubuh sayu anaknya didapatkan segera. Dipangkunya Sayf ke atas riba. Wajah Sayf diusap lembut. Darah pekat yang mewarnai pipi disapu menggunakan lengan baju. Kepala Sayf didakap ke dada.

Sepuluh minit berlalu. Bingit siren yang semakin kuat menandakan ketibaan ambulans. Penumpang di dalam bergegas mendapatkan Sayf. Tubuh longlai Sayf diangkat dan diletakkan ke atas pengusung. Puan Fatimah turut naik ke dalam ambulans, menempatkan dirinya di sisi anak kesayangannya. 

Tayar ambulans bergolek meninggalkan lokasi. Masa terus berdetik tanpa mengenal kasihan, setiap titisan darah yang tumpah menambah sulit keadaan.

"Janganlah diKau ambil lagi anak tunggalku ini ya Allah. Lebih ku rela diriku ini sebagai penggantinya.", permata jernih mengalir laju dari celahan mata. Tangan Sayf digenggam padat. Deria keibuan meronta-ronta memohon selamat. Doa dari bibir Puan Fatimah tiada henti dikumat.
***

Doktor mengangguk. "Ambulans yang bawa mereka kena rempuh waktu dalam perjalanan ke sini."

Kedua-duanya terkedu merakam kata doktor.
"Innalillahi wa inna ilaihirajiuun...", Rijal menundukkan kepala. Auf menghembus nafas panjang tanda kecewa. Tak tersangka sebegitu besar sekali ujian Allah kepada Sayf.

Angin di luar menari longlai, dedaun melenggok ke kanan kiri. Suasana sekitar bertukar hambar. Pemergian Puan Fatimah menambah simpati. Ayahnya dahulu sudah pulang ke rahmatullah sewaktu di tingkatan tiga. Kini ditambah perit kehilangan ibunya pula. Tinggallah sang tunggal keseorangan yang pastinya merasa bahang derita.

Auf mengalih pandangan pada Sayf yang hanya nampak melalui tetingkap kecil di pintu bilik wad. Hanya satu yang mampu dia bantu. Kelahiran keluarga berada itu sudah nekad menghulurkan segala mampu.
---

Sayf masih terlantar selesai pembedahan. Sudah beberapa jam dia tidak sedarkan diri di atas katil. Keluarga Puan Kalsom yang datang menjenguk sudah pulang kerana tiada keizinan masa. Yang ada hanya Rijal, Auf dan seorang doktor yang sedang sibuk merekod kondisi kesihatan Sayf.

"Auf, Rijal", bibir pucat Sayf digerakkan tiba-tiba.

"Mak… mana mak aku?", serak suara dilontar.

"Maaf, kami tak berjaya selamatkan mak kamu. Bahagian badannya cedera teruk. Saya difahamkan mak kamu terkena hentakan kuat waktu dia peluk kamu. Mungkin waktu tu dia cuba untuk lindungi kamu.", jelas doktor dengan nada perlahan.

"A… a… apa?”, terketar-ketar suara Sayf.

Melimpahlah kolam air mata Sayf menuruni pipi. Tidak sempat dia menjamah rindu ibu sepuas hati. Bagaimana semua ini boleh terjadi? Bagaimana? Hatinya sayu. Sejauh ingatannya hanyalah berjalan pulang dari kedai Pak Man. Dan kini ibunya sudah tiada untuk menjadi peneman.

"Maaaaak!!"
---

Puan Kalsom meletakkan gagang ke tempatnya.
"Kalau makcik rasa nak cari pengganti saya, silakanlah. Saya tak nak buat sesiapa tertunggu-tunggu. InsyaAllah kalau jodoh, takkan ke mana kan makcik. Saya pun takkan ke mana, baring kat hospital ni je.", begitu tenang Sayf mengungkap perkataan sewaktu berbicara di dalam telefon sebentar tadi. Sayf sudah nekad untuk berserah.

"Assalamualaikum!", kedengaran suara dari luar rumah. Muka jendela diselak, mata menangkap kelibat beberapa orang berpakaian sedondon berdiri di luar pagar rumah yang tidak berkunci.

"Waalaikumussalam. Ada apa ni Kak Jah? Nak beraya ke bulan-bulan puasa ni?"… krik.. krik krik nyanyi cengkerik.

"Errr... Masuklah dulu.", pelawa Puan Kalsom.

Puan Khadijah melangkah masuk lalu melabuhkan punggung di atas tikar getah berhampiran meja.

"Kami datang ni nak meminang Hana untuk anak akak, Haziq.", kata Puan Khadijah terus-terang dengan sekuntum senyuman.

"Oh..", Puan Kalsom menahan air liur. Sudah lama dia mengenal keluarga Puan Khadijah. Pernah suatu masa Puan Khadijah ingin memasangkan anak sulungnya dengan Aina, kakak kepada Hana. Namun hajat itu terhalang kerana sedikit kecelaruan pada pihak Aina. Kini dia kembali dengan hajat untuk anak keduanya Haziq.

"Dia belajar mana sekarang?", soal Puan Kalsom.

"Mesir. Alexandria Universiti. "
"Hafiz, Hakim, bawak masuk barang-barang hantaran tu.", arah Puan Ana kepada kedua-dua anak lelakinya yang sedia menanti di luar rumah.

Sejurus melangkah masuklah kedua-duanya sambil menatang dulang hantaran di atas lengan. Tiga dulang perak berisi hadiah dihias kemas sebagai tanda pertunangan. Kecantikannya menjamu genap mata yang melihat.
"Kalau Hana terima, tiga-tiga dulang ni terus jadi milik Hana."

Puan Kalsom tidak lagi menunggu. Kepala terus diangguk tanda setuju.
---
Bahagian 5,6,7 << Bersambung

1 comment:

Imanyuni Imanyuni said...

mna smbungan yer best giler lh..