Friday 25 May 2012

Cocktail dosa pahala

Yang baik selalu diletak tepi. Yang buruk sering dianjak kemari. 
Fenomena Perhimpunan Jutaan Belia yang berlangsung sepanjang 23 hingga 27 mei ini menarik remaja untuk mengambil bahagian di dalam program-program yang pelbagai. 


Tidak terkecuali konsert-konsert untuk membeli remaja dengan mudah dan murah. Konsert-konsert yang jauh dari rasional negara Islam. Melalaikan, memesong, membazir. Ditambah pula dijalankan di dalam bulan haram, bulan Rejab, bulan persediaan ke arah Ramadhan.


Memang, hiburan itu perlu lagi-lagi untuk menarik remaja yang masih di dalam arena antara zaman kanak-kanak dengan dewasa. Siapa tak perlukan hiburan? Rasulullah juga berhibur dengan saidatina Aishah R.A. Rasulullah juga bergurau senda dengan para sahabat.
Tapi bukan dengan melampaui batas!




Bila remaja sekarang banyak disajikan dengan hiburan melampau, disuap permainan di siang hari, disogok nyanyian saban malam, tang mana sisipan waktu untuk Dia? Dengan si dara bukan main, boleh lama-lama. 
Bak kata Hilal Asyraf, "sudah overdose, bahkan overdosa"




Ya, hiburan tak salah, apa yang salah adalah mereka yang berhibur melangkaui ukuran. Ukuran syara' terutamanya. Bergesel lelaki perempuan, wanita terlolong menjaja suara, pakaian lubang sana sini. Nak kata tak cukup kain, entahlah? Saya tak pegang wallet sesiapa.


Lihat betapa ikhtilat (percampuran lelaki perempuan) menjadi santapan ruji rohani, tak sempurna remaja tanpanya. Lepas itu timbullah 'mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena'.
Tak hairanlah zaman kita ni semakin agresif, aktif dan produktif. Ada sahaja anak-anak 'percuma' di sini sana. Kemudian salahkan pula remaja bernafsu liar, buas. Anda letakkan ikan, harapkan kucing buat tak endah? 


Cocktail dosa pahala


"Cuba lihat dari segi positif, jangan pandang dengan pandangan negatif semata!"


Saya tahu, ada slot-slot modal insan dan sebagainya. Siap dengan qiamullail malam Jumaat lagi. "Tak cukup baguskah?". Bagus ya bagus! 


Tapi apa yang lebih mereka zahirkan? Slot-slot sebegini atau konsert gah penuh leka? Mahu pula diletakkan slot-slot sebegini di corok yang kurang perhatian. Jelas ia hanya sekadar pembalut gula-gula yang melindungi isinya. Coklat di dalam, warna-warni di luar. Akhirnya yang dimakan cuma isi, pembalut dibuang ketepi.


Apa yang anda nampak? Najwa Latif? Cepat sahaja. Rabbani? Lambat sekali.


Firman Allah S.W.T:
"Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar
itu dengan yang batil, ..." (Al-Baqarah - 42)




Inilah hakikatnya, dicampurkan yang halal dengan yang haram. Atau mungkin lebih tepat, menghalalkan yang haram?


Firman Allah S.W.T:
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi.
Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula 
manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar 
daripada manfaatnya."." (Al-Baqarah - 219)


Saya beri contoh arak dan judi. Kedua-duanya punya kebaikan punya keburukan. Mengapa tidak Allah halalkan sedikit daripadanya? Mengapa setitis arak pun tak dibenarkan? Mengapa perjudian seringgit pun tak dibenarkan?
Kerana manusia akan keliru dek percampuran yang baik dan buruk. Samalah juga halnya dengan pengisian rohani di belah pagi, diikuti konsert di belah malam.   



Membantu perlu, membantut juga perlu


Firman Allah S.W.T:
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebaikan dan takwa,
 dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa 
dan pelanggaran." (Al-Maidah - 2)

Janganlah kita tergolong sebagai agen maksiat, mengajak pada yang sebegini. Anda pandang sebelah mata, fikir cuma sejenak, memang tak cukup. Sejauh mana anda yakin, ajakan anda ini sama sekali tidak menyebabkan mereka ikut terjebak dengan kancah maksiat? Kalau anda yakin, silakan.

Sedangkan di dalam majlis ilmu pun curahan sakinah boleh ditarik lantaran seorang daripadanya sedang melakukan dosa, inikan pula majlis besar-besaran dibanjiri jutaan manusia yang jelas pendedahan aurat tak terkawal oleh sesiapa.


Kita pantas mengharamkan perhimpunan yang dianggap menghuru-harakan negara.
Kita pantas melabel Irshad Manji sebagai perosak aqidah Islam.
Namun kita menyiput dalam mengenal pasti parasit-parasit agama. Parasit-parasit yang meracuni, melemahkan dan merosakkan pemikiran belia-belia kita.
Kata belia harapan negara?

---
Usamah bin Zaid berdarah muda remaja menjadi panglima perang termuda kesayangan Rasulullah. Zaman belia sudah menempah kepercayaan tinggi dari nabi. 
Tapi zaman kita? Remaja ligat dengan k-pop, j-pop dan m-pop je ke?
Binasa, binasa.

Saturday 12 May 2012

Salah si takdir

4 perkara telah ditetapkan di masa kita masih berteman kelam rahim ibu: 
  1. Rezeki - makanan, tempat teduh, jodoh.
  2. Ajal - hidup dan mati.
  3. Amalan - segala apa yang dikerjakan.
  4. Akhirat - syurga atau neraka.
"Semua yang kita buat ni dah ditentukan Allah, syurga neraka semua dah ditentukan, tak guna lah kita beramal", rungut si jahil.
Jadi macam mana? Kalau dah ditetapkan bahagia atau celaka, syurga atau neraka, benarlah kiranya amal tiada berguna. Dan benarlah juga semuanya salah si takdir.


Namun ketahuilah bahawa Dia tidak pernah zalim kepada hamba-hambanya.


Firman Allah S.W.T:


"...Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hambanya." (Al-Anfaal - 8:51)

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) 
kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang 
mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang
yang mengotorinya." (As-Syams: 91:8~10)



Apa yang patut kita ketahui adalah takdir itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang ditetapkan dengan kehendakNya iaitu rezeki dan ajal, dan yang ditetapkan dengan ilmuNya yang Maha Luas tanpa kehendakNya iaitu amal dan akhirat.


Takdir sebagai ketetapan Allah

Firman Allah S.W.T:
"Dan pada sisi Allah lah kunci-kunci semua yang ghaib;
tak ada yang mengetahui kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui
apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang
gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir bijipun
di dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau kering,
melainkan tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)." (Al-An'aam - 6:59)

"Tak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), 
melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami
azab dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah 
tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuzh)." (Al-Israa' - 17:58)

"...Dan tidak ada seorang
perempuanpun mengandung dan tidak (pula) melahirkan melainkan
dengan sepengetahuanNya. Dan sekali-kali tidak dipanjangkan 
umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya,
melainkan (sudah ditetapkan) di dalam Kitab (Lauh Mahfuzh).
Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah." (Faathir - 35:11)

Daripada ayat-ayat ini jelas diketahui bahawa segalanya telah diatur Allah dan telah tercatat di dalam KitabNya iaitu Lauh Mahfuzh. Apa yang kita buat semuanya telah diketahui dan diatur perjalanannya. Perhati pula ayat-ayat di bawah.

Takdir sebagai usaha kita

Firman Allah S.W.T:
"...Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa 
apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu 
memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu, agar mereka berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah - 2:186)

"Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri..." (Al-Anfaal - 8:51)

"...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah keadaan yang ada 
pada mereka sendiri..." (Ar-ra'd - 13:11)

Ayat-ayat di atas pula menyatakan bahawa amalan-amalan kita menjadi penyebab berlakunya sesuatu takdir. Sama sekali bias terhadap aya-ayat sebelumnya. Mana mungkin kedua-duanya bercanggah sesama sendiri sedangkan kedua-duanya adalah dari Allah?

Jadi mana satu yang benar? 

Takdir dan Amal saling seiring

Apa yang sebenarnya adalah, kedua-duanya saling berpautan. Seperti sudu dengan garfu, kasut dengan stokin, kekura dengan cengkerangnya, cahaya dengan bayang, jantan dengan betina, mahupun nasi ayam dengan supnya.

Analogi mudah. Kalkulator. Bila ditekan 5+5 akan terpapar jawapan 10. Bila ditekan pula 10+10 akan terpapar 20. Semuanya dah diprogramkan oleh si pencipta untuk dikira terlebih dahulu, dan kemudian diberikan jawapan yang sesuai. 
Kita boleh pula tekan 2+3, 4+7 atau apa sekalipun dan outputnya adalah berbeza-beza mengikut input berkaitan.

Begitu juga dengan takdir. Bila amalannya A, takdirnya adalah B. Bila amalannya B, takdirnya adalah C. Semuanya sudah ditentukan oleh Allah untuk diambil kira keputusan serta amalan dan kemudian diberikan takdir yang setimpal. 
Syarat berlaku takdir itu pula jumlahnya tidak terhingga sehinggakan kemungkinan hasilnya juga tidak terhingga banyaknya.

Makanya salah si takdir itu rupanya adalah salah si jahil. Terlalu pantas membuta tuli. Ingatlah, dunia ini sebagai ujian, ujian percaya, ujian setia, ujian rela, ujian usaha dan yang sewaktu dengannya. Rugilah mereka yang memandang sebelah mata.


---
Betapa berkuasanya Dia berhak mengubah segala sesuatu menurut kehendakNya.

Firman Allah S.W.T:
"Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki
dan menetapkan (apa yang dia kehendaki), dan di sisiNya lah 
terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuzh)." (Ar-ra'd - 13:39)

Sunday 6 May 2012

Doa yang sia-sia

Seringkali kita berdoa, meminta pelbagai benda, perkara, dan apa sahaja untuk diri kita yang hanya mampu menerima apa yang ingin diberikanNya. Hanya Dia yang berhak memperkenankan segala doa hambanya tanpa sedikit pun mengurangkan kemampuanNya. 


Namun dalam pada itu, berapa banyak doa kita yang makbul?


Firman Allah S.W.T:
"Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada Ku, 
nescaya akan Ku perkenankan bagimu." ". (Al-Mu'min - 40:60)

Ya sememangnya termaktub di dalam al-Quran itu sendiri, Allah telah berjanji untuk memperkenankan doa-doa hambanya. Kemudian dengan keinginan penuh di dada, kita berdoa itu, ini, begitu, begini. 

Tapi mengapa doa kita masih tak kesampaian?

Sabda Rasulullah S.A.W:
"Doa seorang hamba tetap dikabulkan selama mana 
ia tidak berdoa untuk satu perbuatan dosa atau memutuskan silaturrahim 
atau tak terburu-buru segera dikabulkan."
Seorang sahabat bertanya: 
"Wahai Rasulullah, apakah maksud terburu-buru?"
Rasulullah menjawab: 
"Ia mengatakan, "aku telah berdoa
tetapi aku tidak melihat doaku dikabulkan", sehingga
ia mengabaikan dan meninggalkan doanya itu." (HR Muslim)

Jelas di dalam hadith, mereka yang berdoa untuk keburukan atau yang bermusuhan sesama muslim mahupun yang berputus asa  begitu sahaja adalah mereka yang sia-sia doanya. 

Kadangkala perbuatan dan perlakuan kita sendiri yang menjadi batu penghalang.
Kita ingkar pada pemimpin yang adil, tidak taat pada guru, derhaka pada ibu bapa, derhaka pada suami, atau menganiaya orang lain, semuanya adalah serpihan-serpihan darinya.

Tidak pula ada usaha yang selari dengan apa yang diminta.
Si A minta rezeki membukit tinggi, tapi duduk di rumah goyang kaki. Si B minta keputusan peperiksaan 4 flat, tetapi belajar cuma sekerat. Si C pula minta isteri yang solehah, tapi diri sendiri banyak masalah.

Hati pula mati dari 10 perkara iaitu:
  1. Kamu mengenal Allah, tapi tidak menunaikan hakNya.
  2. Kamu membaca kitab Allah, tapi kamu tidak mengamalkannya.
  3. Kamu mengaku memusuhi iblis, tapi mengikut tuntutannya.
  4. Kamu mengaku cinta Rasul, tetapi meninggalkan sunnahnya.
  5. Kamu mengakui syurga, tetapi tidak beramal menujunya.
  6. Kamu takut neraka, tapi tidak mengakhiri perbuatan dosa.
  7. Kamu tahu kematian itu hak, tetapi tiada persedian untuknya.
  8. Kamu meneliti aib-aib orang lain, tapi melupakan aib sendiri yang ada.
  9. Kamu makan rezeki Allah, tapi tidak bersyukur padaNya.
  10. Kamu menguburkan orang, tapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.



muslim-women.deviantart

Namun apa yang penting adalah kita terus berdoa, tetap istiqamah di dalamnya. Bukanlah bererti selepas ini kita berhenti kerana takut sia-sia. InsyaAllah di dalam setiap doa yang dipinta, manfaatnya pasti ada. Tak dapat cepat, lambat. Tak dapat di sini, di akhirat sana. Yang pasti, Allah suka kita meminta-minta padanya. Bukankah Dia Yang Maha Pemurah? Aahhhhh, beruntunglah.

---
Sedar atau tidak, setiap hari sekurang-kurangnya 17 kali kita berdoa di dalam solat melalui ayat 6 dan 7 surah al-Fatihah yang bermaksud:
"Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang
yang kau anugerahkan nikmat kepada mereka; 
bukan jalan yang dimurkai dan bukan pula jalan yang sesat". (Al-Fatihah - 1:6-7)