Saturday 12 May 2012

Salah si takdir

4 perkara telah ditetapkan di masa kita masih berteman kelam rahim ibu: 
  1. Rezeki - makanan, tempat teduh, jodoh.
  2. Ajal - hidup dan mati.
  3. Amalan - segala apa yang dikerjakan.
  4. Akhirat - syurga atau neraka.
"Semua yang kita buat ni dah ditentukan Allah, syurga neraka semua dah ditentukan, tak guna lah kita beramal", rungut si jahil.
Jadi macam mana? Kalau dah ditetapkan bahagia atau celaka, syurga atau neraka, benarlah kiranya amal tiada berguna. Dan benarlah juga semuanya salah si takdir.


Namun ketahuilah bahawa Dia tidak pernah zalim kepada hamba-hambanya.


Firman Allah S.W.T:


"...Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hambanya." (Al-Anfaal - 8:51)

"Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) 
kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang 
mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang
yang mengotorinya." (As-Syams: 91:8~10)



Apa yang patut kita ketahui adalah takdir itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu yang ditetapkan dengan kehendakNya iaitu rezeki dan ajal, dan yang ditetapkan dengan ilmuNya yang Maha Luas tanpa kehendakNya iaitu amal dan akhirat.


Takdir sebagai ketetapan Allah

Firman Allah S.W.T:
"Dan pada sisi Allah lah kunci-kunci semua yang ghaib;
tak ada yang mengetahui kecuali Dia sendiri, dan Dia mengetahui
apa yang di daratan dan di lautan, dan tiada sehelai daun pun yang
gugur melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak jatuh sebutir bijipun
di dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau kering,
melainkan tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh)." (Al-An'aam - 6:59)

"Tak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), 
melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami
azab dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah 
tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuzh)." (Al-Israa' - 17:58)

"...Dan tidak ada seorang
perempuanpun mengandung dan tidak (pula) melahirkan melainkan
dengan sepengetahuanNya. Dan sekali-kali tidak dipanjangkan 
umur seorang yang berumur panjang dan tidak pula dikurangi umurnya,
melainkan (sudah ditetapkan) di dalam Kitab (Lauh Mahfuzh).
Sesungguhnya yang demikian itu bagi Allah adalah mudah." (Faathir - 35:11)

Daripada ayat-ayat ini jelas diketahui bahawa segalanya telah diatur Allah dan telah tercatat di dalam KitabNya iaitu Lauh Mahfuzh. Apa yang kita buat semuanya telah diketahui dan diatur perjalanannya. Perhati pula ayat-ayat di bawah.

Takdir sebagai usaha kita

Firman Allah S.W.T:
"...Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa 
apabila ia memohon kepadaKu, maka hendaklah mereka itu 
memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu, agar mereka berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah - 2:186)

"Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tangan kamu sendiri..." (Al-Anfaal - 8:51)

"...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga mereka mengubah keadaan yang ada 
pada mereka sendiri..." (Ar-ra'd - 13:11)

Ayat-ayat di atas pula menyatakan bahawa amalan-amalan kita menjadi penyebab berlakunya sesuatu takdir. Sama sekali bias terhadap aya-ayat sebelumnya. Mana mungkin kedua-duanya bercanggah sesama sendiri sedangkan kedua-duanya adalah dari Allah?

Jadi mana satu yang benar? 

Takdir dan Amal saling seiring

Apa yang sebenarnya adalah, kedua-duanya saling berpautan. Seperti sudu dengan garfu, kasut dengan stokin, kekura dengan cengkerangnya, cahaya dengan bayang, jantan dengan betina, mahupun nasi ayam dengan supnya.

Analogi mudah. Kalkulator. Bila ditekan 5+5 akan terpapar jawapan 10. Bila ditekan pula 10+10 akan terpapar 20. Semuanya dah diprogramkan oleh si pencipta untuk dikira terlebih dahulu, dan kemudian diberikan jawapan yang sesuai. 
Kita boleh pula tekan 2+3, 4+7 atau apa sekalipun dan outputnya adalah berbeza-beza mengikut input berkaitan.

Begitu juga dengan takdir. Bila amalannya A, takdirnya adalah B. Bila amalannya B, takdirnya adalah C. Semuanya sudah ditentukan oleh Allah untuk diambil kira keputusan serta amalan dan kemudian diberikan takdir yang setimpal. 
Syarat berlaku takdir itu pula jumlahnya tidak terhingga sehinggakan kemungkinan hasilnya juga tidak terhingga banyaknya.

Makanya salah si takdir itu rupanya adalah salah si jahil. Terlalu pantas membuta tuli. Ingatlah, dunia ini sebagai ujian, ujian percaya, ujian setia, ujian rela, ujian usaha dan yang sewaktu dengannya. Rugilah mereka yang memandang sebelah mata.


---
Betapa berkuasanya Dia berhak mengubah segala sesuatu menurut kehendakNya.

Firman Allah S.W.T:
"Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki
dan menetapkan (apa yang dia kehendaki), dan di sisiNya lah 
terdapat Ummul Kitab (Lauh Mahfuzh)." (Ar-ra'd - 13:39)

No comments: