Saturday 7 July 2012

Cerpen: Dalam Diam Dia di Hati [4]

"Tapi umi.. Hana kan muda lagi", Hana mencebik birbirnya. Seakan tak dapat dipercayai apa yang dikatakan umi Kalsom tadi. Terasa dirinya masih memerlukan kehangatan bermanja di bawah ketiak ibu dan ayahnya, bukan dengan seorang yang bergelar suami. 


"Orang lain pergi sendiri okay je Angah tengok", bibirnya kini dimuncungkan ala-ala Daisy Duck. "Lagipun umi, ada dua tiga kawan sekolah Angah pun nak ke sana jugak", songeh Hana lagi. Dia cuba mencari alasan untuk mengubah fikiran ibunya.


Puan Kalsom hanya tersenyum, masak sekali dengan perangai Hana. 

---
Hana mengeluh panjang sendirian di sudut tangga batu di hadapan rumah. Matanya memandang kosong anak itik yang terkedek-kedek mengejar ibunda itik tersayang lagi dicintai. Jauh di lubuk hati, Hana merasakan dirinya masih terlalu mentah dalam bab perkongsian perasaan. Bukan apa, dia tidak langsung berpengalaman dengan lelaki yang bukan mahram.

Ini bukan soal cinta monyet, bila gatal "mai abang cuit". Ini bukan soal cinta murahan muda-mudi, bila bosan dibuang ketepi. Ini bukan soal cinta ekspres, bila lambat terus terlepas. Sebaliknya ia adalah sesuatu yang jauh sekali dari jahiliyyah, penuh dan padat dengan amanah. Tanggungjawab isteri bukanlah ringan. Bagaimana kalau dia tak mampu? Bagaimana sekiranya dia gagal, tidakkah malu? Deras soalan menerpa fikirannya.


"Umi bukan apa, umi nak ada orang yang boleh jaga kamu, boleh sayang kamu, boleh tolong kamu", terngiang suara umi sewaktu berbicara tadi.


Hana bangkit lalu melangkah ke bahagian bawah rumah. Basikal pemberian abah sebagai hadiah cemerlang UPSR nya dahulu dibawa keluar dari teduhan. Kenderaan berkuasa 'lemak' itu menjadi penemannya ke sana ke mari sekiranya ada keperluan. 


Kebiasaannya dia yang menjadi pembantu setia uminya untuk ke pasar sendirian membeli serba-serbi keperluan dapur. Sekadar memenuhi bakul kecil basikalnya sudah memadai. Memandangkan tiada adik beradik lelaki, Hana senang menawar diri menggantikan kakak dan adiknya. 


Basikal berwarna merah tua itu dikayuh perlahan menembusi udara pagi. Matahari pukul 8.30 pagi terasa suam di muka. Angin yang mengalun tudungnya terasa nyaman membawa bau embun. Suasana kampung begini berbeza sekali dengan di kota, tiada bunyi bising kenderaan seawal 6 pagi. 


Kayuhan Hana mati setibanya di sebuah jambatan kayu yang menghubungkan kebun arwah neneknya dengan jalan utama. Basikal diletakkan bersandar pada batang pokok tempat dia berhenti. Hana duduk di atas rumput yang masih basah di tepi jambatan, kakinya dibiarkan terjuntai ke bawah. Sesekali kakinya digoyang-goyang ke depan dan ke belakang.



"Hai Hana", tiba-tiba kedengaran suara menyapa dari belakang. Alyssa yang sedari tadi nampak akan gelagat Hana terus menghampiri sahabat sekampungnya itu. Hajatnya untuk ke kedai dihentikan sebentar.


Hana menoleh ke belakang perlahan.
"Oh Lisa, lama tak jumpa awak", dia bingkas bangkit lalu memeluk gadis berketurunan Cina itu. Badan Alyssa yang agak lampai itu dipeluknya erat.


"Awak buat apa kat sini?", soal Alyssa berpura-pura tidak tahu. Hana yang dia kenal sering menghabiskan saat sedih atau runsingnya di sini. Teringat kata Hana "kat sini cantik, nak berfikir pun tenang" sambil mukanya tersenyum lebar menampakkan barisan gigi, manis sekali.


"So, awak taknak cerita ke? Duduk sini mesti sebab ada masalah kan, Lisa tau dah", soal Alyssa sedikit pelat setelah mereka berdua duduk bersebelahan, rapat.


Hana terdiam sebentar, yang kedengaran hanya bunyi sang pipit. Seketika kemudian bibirnya mula menyusun kata.
"Emmm.. tak tahu lah. Mak Hana nak kahwinkan Hana sebelum sambung belajar nanti."


"Wah! Kenapa awal sangat?", mata sepet Alyssa membulat.


Sekali lagi Hana membiarkan suasana sepi seketika sebelum menyambung kata.


"Dalam Islam, orang perempuan digalakkan kahwin muda. Sebab perempuan ni lebih subur masa muda-muda. Lagipun zaman kita muda ni lah hati mula nak mencuba-cuba. Cinta sana, sayang sini. Islam tak menghalang cinta sebab cinta tu kan fitrah manusia. Tapi Islam ajar untuk bercinta dengan cara yang betul, cara yang mengelakkan fitnah dan cerca manusia." 
Hana tahu semua itu. Cuma soalnya sekarang dia tidak yakin dengan diri sendiri. Dia masih tidak mahu dengan sesiapa pun.

Alyssa hanya memasang telinga, kagum dengan apa yang didengarinya. Banyak kefahaman tentang Islam yang dia dapat dari Hana. Dia kagum dengan komitmen yang diberikan Hana di saat orang lain sekadar hangat-hangat tahi ayam dalam mempraktikkan Islam.

"Tapi.. Hana rasa masih belum bersedia untuk tu. Bulan lepas baru je masuk 18."


"Tak apa lah Hana, Lisa rasa mesti ada sebab mak Hana nak bagi macam tu. Bak kata orang putih, mothers know best, kan?", Alyssa menggosok belakang temannya itu.


Dari kejauhan sepasang mata sedang memerhatikan kedua-dua gadis itu. Segaris senyuman terukir di bibir empunya mata.


---
Bahagian 3 << Bersambung >> Bahagian 5, 6, 7

1 comment:

Ummuatifah...kolumnis Kuliah Baitul Muslim said...

Rabbana ma kholaqta haaza baatilan, subahanaka faqina 'azaabannaar. !(Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha suci Engkau, lindungilah kami dari azab api neraka) Surah Ali Imran : 191.

Mabrook! Abu Bakr...semuga jari jemari ankanda terus diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt untuk ditundukkan dalam terus menukilkan mutiara2 hikmah kalamullah dalam mengenengahkan kebesaran Allah swt melalui :

1. Dalam setiap babak cerpen anakanda sentiasa
mengenengahkan keindahan ciptaan Alllah swt - masyaAllah itulah ciri2 orang2 yang berfikir 'serta 'abid Allah swt yang beraqal, InsyaAllah.(surah Ali Imran : 190). Teruskan pendekatan itu dan pertingkatkan lagi kreativiti.

2. Cuma, ada kemungkinan Hana ditaqdirkan Allah swt berhijrah kerana mengikut ayahnya yang diamanahkan bertugas ke bandar- kota metropolitan yang dibanjiri dengan manusia yang diselubungi al-wahn(takutkan mati dan cintakan dunia), mayat anak2 kecil yang tidak berdosa di dalam tong sampah, longkang hasil kerakusan nafsu cinta yang ditanam dengan benih2 syaitan yang menunggangi anak2 muda-mudi yang ketandusan iman,taqwa dan kasih sayang ibu dan ayah yang hidup bertunjangkan material duniawi, darah mengalir akibat tembakan pistol dendam, kemurungan suami isteri yang menyuburkan cinta tiga segi hingga zina suami dengan isteri orang atau sebaliknya dan banyak lagi kancah maksiat akibat manusia sudah tidak mengenali Allah swt. Semua fenomena ini menyuntik rasa kesyukuran di hati suci Hana kerana Allah swt memberinya taufiq dan hidayahNya melalui pentarbiyyahan dan pendidikan ibu dan ayahnya yang sentiasa mengenalkan,membimbingnya dan memastikan Hana sentiasa dapat menggarap cinta haqiqi khaliqnya iaitu Allah azzawajalla dan sentiasa hidup bahagia dalam syariat Allah swt, keinsafan yang menggoncangkan darah mudanya untuk bangkit membantu rakan2 dan seluruh ummah hidup kembali berlandaskan Islam dan ketaatan kepada Allah swt.

3. Adakah Hana dapat melihat hikmah di sebalik doa dan strategi pentarbiyyahan dan bimbingan praktis ibunya menyampaikan susunan taqdir Allah swt yang menggerakkan hati Pn Fatimah, emak Sayf untuk memilih Hana sebagai calon isteri yang didoakan agr menjadi Quratul'ain(isteri penyejuk mata) dan bidadari di Syurga Firdaus anak kesayangannya Sayf? InsyaAllah, sama2lah kita nantikan kisahnya di episod akan datang.

Hana adalah anak kampung yang 'special' di sisi Allah swt, InsyaAllah melalui cerita ini, dia bukan sahaja istimewa dihati ibu dan ayahnya, tapi...kawannya -Alyssa..erm muslim atau bukan muslim(semoga dia diberi hidayah oleh Allah swt melalui hikmah dan kesolehan Hana). Sepasang mata yang memandang Hana dengan senyuman...doa umi, dia bukan pandangan mata anak lelaki yang bukan mahram yang digoda oleh cinta syaitan, tapi...mungkin ibu muttaqin yang kesolehan Hana juga menjadi mutiara di hati untuk dijadikan calon isteri dan bidadari anak lelaki solehnya...MasyaAllah.

Adakah ini satu lagi cabaran buat Sayf untuk berusaha lebih gigih untuk mempersiapkan diri menjadi 'abid pilihan Allah swt sebagai calon suami soleh addeen dan akhlaqnya, penyejuk mata dan bidadara anak suci, Hana.

Sama2lah kita nantikan sambungan kisah ini..InsyaAllah.

2.Abu Bakr...terfikir tak untuk bukukan kisah ini menjadi novel..mungkin boleh dipromosikan semasa walimah anakanda?Semoga niat suci untuk mengembalikan kisah berkasih sayang atas landasan syariat anakanda ini menjadi teladan dan qudwah yang baik untuk generasi muda bakal penyelamat ummah keluar dari kancah jahiliyyah kepada cara hidup Islam yang diberkati lagi diredhai Allah swt, InsyaAllah.

Teruskan perjuangan! Maassalamah.