Saturday 9 June 2012

Kera di depan jadi tumpuan, Singa dalam diri tak diendahkan

Di suatu sudut, Luqman kelihatan sedang tekun membaca. Dahinya sedikit berkerut, tanda benaknya tak selesa. Buku yang tadi dipegang kemas, diletakkan ke tepi. "Fuhh", dia mengeluh sedikit. Pandangannya dilemparkan jauh, fikirannya melayang.


Dari jauh Arif yang baru sahaja habis kelas tengahari datang mendekati. Dia sedar gelagat teman akrabnya itu. Tahu ada sesuatu yang bermain di fikiran. 


Tangannya dijulurkan, bahu Luqman ditepuk.
"Weh Luq, termenung jauh nampak. Ada masalah ke?" Tegur Arif menarik semula Luqman ke alam realiti.
"Kalau ada, ceritalah kat aku. Mana tau aku boleh tolong kan?" Tambahnya. 

"Masalah? Aku memang ada masalah! Masalah UMMAH!" Jawab Luqman agak keras. 
Luqman pantas berdiri.

"Aku tengah fikir pasal dunia kita sekarang ni, banyak perbalahan sana sini, dunia ni dah tak aman. Dunia ni dah banyak sangat bergoncang atas tangan-tangan orang kafir. Tengok je lah Palestin tu, depa sedap hati je bedil. Dunia Islam kucar-kacir, semua sebab dorang. Tambah lagi dengan politik sekularismenya, ekonomi kapitalismenya, fahaman-fahaman leberalismenya. Racun, racun."


"Kalau aku lah kan, aku nak ikut pergi jihad. Aku nak bunuh semua orang kafir. Kalau aku jumpa pemimpin dorang, aku bunuh satu-satu!" Sambung Luqman penuh semangat, seperti angry birds yang baru kehilangan telur. 

Arif sekadar mengangguk. Dia tahu apa yang perlu dibalas.


"Apa yang kau kata tu ada betulnya Luq. Tapi kita kena ingat, Islam tak ditegakkan dengan mata pedang. Islam ni bukan agama paksaan. Islam ni bukan agama yang garang. Bukan jugak agama dipandu peperangan. Kita kata orang-orang kafir tu musuh Islam yang utama, tapi kita tak sedar yang mana, ramai dari kita golongan umat Islam ni sendiri yang jadi musuh Islam."


"Tengok lah Mustafa Kemal Ataturk yang bertanggungjawab atas runtuhnya empayar khilafah. Tengok pulak Irshad Manji yang cuba bawa fahaman liberalisma tak munasabah. Atau tengok pemimpin-pemimpin Islam yang menolak Islam, kononnya hukum Islam tu lah yang akan bawa masalah. Mereka-mereka ni lah musuh di dalam selimut, yang jadi duri dalam daging. Kita patutnya berbalik pada Al-Qur’an dan Sunnah."


"Rasulullah sendiri pernah kata dalam khutbah terakhir baginda: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur’an dan Sunnahku.”
Kenapa? Sebab dua-dua ni lah tunjang kepada iman, macam akar kepada pokok."

"Al-quran ni, orang-orang kafir pun takut, sampaikan ada sorang ahli parlimen Britain ni kata: “Selagimana Al-Qur’an itu berada di tangan umat Islam, maka Eropah selama-lamanya tidak akan berupaya menguasai negara Islam.” Orang kafir pun sedar hebatnya Al-Quran ni. Tapi kita? Kita masih lagi lena di bawah selimut dorang, leka dengan hidup bersenang-lenang." 


"Sedar tak yang sepatutnya kita mula dengan baiki diri sendiri? Bukan terus tuding Barat, salahkan kuasa-kuasa besar, kuasa-kuasa hebat."

"Cuba kita mulakan dgn solat subuh berjemaah setiap hari, pastu dalami Al-Qur'an dengan As-Sunnah, barulah boleh lahirkan insan yang hebat. Contohnya macam Sultan Muhammad Al-Fateh. Dia tak pernah tinggal solat tahajjud sejak akil baligh. Jangan kata solat lain, solat tahajjud pun tak pernah tinggal! Hasilnya? Dia dapat tawan Constantinople waktu umur dia 21 tahun." 

"Tengok pulak Salahuddin Al-Ayyubi. Semua tentera baris hadapan dia pilih dari kalangan orang-orang yang bangun malam untuk bermunajat pada Allah. Yang tak, semua duduk belakang-belakang je. Dan akhirnya, dia dapat kalahkan tentera Salib yang kuat."

"Pastu tengok Al-Jazari, tokoh engineering Islam, sistem yg dia cipta dari ratusan tahun dulu masih lagi orang guna sampailah sekarang. Idea-idea dia semua dipelopori kemudian dikembangkan. Itu pun semuanya, iktikad sendiri dengan mendalami ilmu-ilmu Al-Qur'an."


"Secara mudahnya, semuanya mula dari diri kita sendiri, inspirasi dari lubuk hati.
Ibarat pohon lah, mulanya dengan benih bukan dengan daun rimbun."

“Tegakkan Islam di dalam dirimu, nescaya mekarlah Islam disekelilingmu.
Dari diri, ke keluarga, ke masyarakat, ke negara, dan last sekali, kepada dunia. InsyaAllah!" Jelas Arif panjang lebar.


Dia meneguk air teh o ais limau kurang gula dari botol yang dibawanya bersama tadi.
Luqman yang dari tadi sekadar mendengar, mengangguk tanda setuju. 
"Betul jugak kan?"


---

No comments: