Sinar merah biru diiring bunyi tempikan siren menyedarkan
pemandu di hadapan akan kehadiran ambulans. Kenderaan putih bercalit merah itu
menerobos lincah dari celahan kenderaan yang membuka ruang. Tayar berputar
lancar menghampiri lampu isyarat di simpang empat yang menjadi punca kesesakan.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah
hari. Lampu isyarat dari arah kanan bertukar kuning. Sebuah Jeep berwarna merah
garang yang cuba merentasi simpang enggan berhenti. Pedal minyak dipijak
semakin bawah lagi.
Kepala Jeep tanpa segan silu menerkam badan ambulans. Tayar
kedua-duanya tersipu-sipu menjerit ditogel tar jalan. Lampu isyarat yang tiada
bersalah tertunduk malu dicium ambulans dari hadapan. Kelengkapan dan
ubat-ubatan di dalam jatuh menghujani penumpang yang mengisi ruang belakang.
Mulut-mulut ternganga. Mata-mata seakan tak percaya akan
insiden sekelip mata. Asap berkepul-kepul keluar dari but hadapan Jeep garang.
Beberapa orang meluru ke arah kemalangan cuba untuk menghulur tangan.
Tit… tit... tiiiiiiiit...
---
"Macam mana keadaan dia doktor?", soal Rijal
tergesa-gesa. Disisinya berdiri Auf. mereka berdua yang mendapat
berita kemalangan Sayf telah datang bersama-sama untuk melihat sahabat mereka
itu.
"Keadaan dia sekarang agak kritikal. Kami akan buat
pembedahan segera untuk hentikan pendarahan dalaman."
"Berapa kosnya?", soal Auf. Dia tahu rawatan
pembedahan pasti memakan kos yang tinggi.
"Soal bayaran tak perlu difikirkan dulu. Yang penting
sekarang adalah hubungi keluarga terdekat mangsa untuk uruskan jenazah ibu
dia."
"Apa? Mak Sayf... dah meninggal?", kata Auf dan
Rijal hampir serentak.
***
"Timah! Timah!", laung Pak Man setibanya di
belakang rumah Puan Fatimah. Puan Fatimah yang baru siap membancuh secawan teh
untuk dijamu kepada Sayf yang baru pulang segera menjenguk keluar jendela.
Hatinya tidak tenang mendengar panggilan gopoh Pak Man. Ada sesuatu yang
mecuit-cuit firasat hatinya.
"Kenapa ni Pak Man?", air liur ditelan.
"Anak kamu... anak kamu Sayf kena langgar dekat jalan nak
ke kedai!", kata Pak Mana tercungap-cungap setelah lelah membawa perut
boroinya berlari.
Jatuh berderai cawan kaca dari titipan tangan selari runtunnya
hati. Teh panas yang menerkam kaki tiada terhirau lagi. Impak berita jauh
mengalahkan sensasi rancangan Melodi di kaca TV.
"Ya Allah!", hanya bibit itu yang mampu keluar
dari bibirnya.
Melipas kudunglah Puan Kalsom melangkah cuba melangkau batas
kain batik yang telah disarungnya kemas. Seribu langkah menjadi satu. Lokasi
yang tiada mampu berganjak lari dikejar sekuat hati. Tubuh sayu anaknya
didapatkan segera. Dipangkunya Sayf ke atas riba. Wajah Sayf diusap lembut.
Darah pekat yang mewarnai pipi disapu menggunakan lengan baju. Kepala Sayf
didakap ke dada.

Tayar ambulans
bergolek meninggalkan lokasi. Masa terus berdetik tanpa mengenal kasihan,
setiap titisan darah yang tumpah menambah sulit keadaan.
"Janganlah diKau ambil lagi anak tunggalku ini ya
Allah. Lebih ku rela diriku ini sebagai penggantinya.", permata jernih
mengalir laju dari celahan mata. Tangan Sayf digenggam padat. Deria keibuan
meronta-ronta memohon selamat. Doa dari bibir Puan Fatimah tiada henti dikumat.
***
Doktor mengangguk. "Ambulans yang bawa mereka kena
rempuh waktu dalam perjalanan ke sini."
Kedua-duanya terkedu merakam kata doktor.
"Innalillahi wa inna ilaihirajiuun...", Rijal
menundukkan kepala. Auf menghembus nafas panjang tanda kecewa. Tak tersangka
sebegitu besar sekali ujian Allah kepada Sayf.
Angin di luar menari longlai, dedaun melenggok ke kanan
kiri. Suasana sekitar bertukar hambar. Pemergian Puan Fatimah menambah simpati.
Ayahnya dahulu sudah pulang ke rahmatullah sewaktu di tingkatan tiga. Kini
ditambah perit kehilangan ibunya pula. Tinggallah sang tunggal keseorangan yang
pastinya merasa bahang derita.
Auf mengalih pandangan pada Sayf yang hanya nampak melalui
tetingkap kecil di pintu bilik wad. Hanya satu yang mampu dia bantu. Kelahiran
keluarga berada itu sudah nekad menghulurkan segala mampu.
---
Sayf masih terlantar selesai pembedahan. Sudah beberapa jam
dia tidak sedarkan diri di atas katil. Keluarga Puan Kalsom yang datang menjenguk
sudah pulang kerana tiada keizinan masa. Yang ada hanya Rijal, Auf dan seorang doktor
yang sedang sibuk merekod kondisi kesihatan Sayf.
"Auf, Rijal", bibir pucat Sayf digerakkan
tiba-tiba.
"Mak… mana mak aku?", serak suara dilontar.
"Maaf, kami tak berjaya selamatkan mak kamu. Bahagian
badannya cedera teruk. Saya difahamkan mak kamu terkena hentakan kuat waktu dia
peluk kamu. Mungkin waktu tu dia cuba untuk lindungi kamu.", jelas doktor
dengan nada perlahan.
"A… a… apa?”, terketar-ketar suara Sayf.
Melimpahlah kolam air mata Sayf menuruni pipi. Tidak sempat
dia menjamah rindu ibu sepuas hati. Bagaimana semua ini boleh terjadi? Bagaimana?
Hatinya sayu. Sejauh ingatannya hanyalah berjalan pulang dari kedai Pak Man.
Dan kini ibunya sudah tiada untuk menjadi peneman.
"Maaaaak!!"
---
Puan Kalsom meletakkan gagang ke tempatnya.
"Kalau makcik rasa nak cari pengganti saya, silakanlah.
Saya tak nak buat sesiapa tertunggu-tunggu. InsyaAllah kalau jodoh, takkan ke
mana kan makcik. Saya pun takkan ke mana, baring kat hospital ni je.",
begitu tenang Sayf mengungkap perkataan sewaktu berbicara di dalam telefon sebentar
tadi. Sayf sudah nekad untuk berserah.
"Assalamualaikum!", kedengaran suara dari luar
rumah. Muka jendela diselak, mata menangkap kelibat beberapa orang berpakaian
sedondon berdiri di luar pagar rumah yang tidak berkunci.
"Waalaikumussalam. Ada apa ni Kak Jah? Nak beraya ke
bulan-bulan puasa ni?"… krik.. krik krik nyanyi cengkerik.
"Errr... Masuklah dulu.", pelawa Puan Kalsom.
Puan Khadijah melangkah masuk lalu melabuhkan punggung di
atas tikar getah berhampiran meja.

"Oh..", Puan Kalsom menahan air liur. Sudah lama
dia mengenal keluarga Puan Khadijah. Pernah suatu masa Puan Khadijah ingin
memasangkan anak sulungnya dengan Aina, kakak kepada Hana. Namun hajat itu terhalang
kerana sedikit kecelaruan pada pihak Aina. Kini dia kembali dengan hajat untuk
anak keduanya Haziq.
"Dia belajar mana sekarang?", soal Puan Kalsom.
"Mesir. Alexandria Universiti. "
"Hafiz, Hakim, bawak masuk barang-barang hantaran
tu.", arah Puan Ana kepada kedua-dua anak lelakinya yang sedia menanti di
luar rumah.
Sejurus melangkah
masuklah kedua-duanya sambil menatang dulang hantaran di atas lengan. Tiga
dulang perak berisi hadiah dihias kemas sebagai tanda pertunangan.
Kecantikannya menjamu genap mata yang melihat.
"Kalau Hana terima, tiga-tiga dulang ni terus jadi
milik Hana."
Puan Kalsom tidak lagi menunggu. Kepala terus diangguk tanda
setuju.
---
Bahagian 5,6,7 << Bersambung